Akhir bulan telah tiba, menandakan sebulan sejak anda memulakan kerjaya. Kini, setelah menerima gaji pertama, bagaimana anda boleh menggunakannya dengan bijak?
Menerima gaji adalah satu pencapaian yang mengujakan, tetapi menguruskan perbelanjaan dengan berhemah adalah lebih penting, terutamanya dengan gaji pertama anda.
Ramai pekerja baru, terutamanya graduan, sering tertanya-tanya bagaimana cara terbaik untuk memperuntukkan pendapatan mereka.
Memang wajar untuk berangan-angan tentang apa yang ingin dibeli. Mungkin sesuatu yang mewah atau hadiah untuk meraikan diri sendiri.
Namun begitu, berhati-hati adalah kunci utama, kerana gaji pertama anda mungkin tidak mencukupi untuk menampung semua keperluan bulanan.
Jika anda tidak berhati-hati, perbelanjaan berlebihan boleh menyebabkan penyesalan. Berikut adalah enam tip bijak untuk memanfaatkan gaji pertama anda
1. Raikan Diri Sendiri– Secara Berpada-pada
Ambil sebahagian kecil daripada gaji anda untuk meraikan diri. Anda telah bekerja keras, dan ganjaran kecil dapat meningkatkan motivasi untuk perjalanan baru ini.
Namun, ingatlah bahawa ini bukan lesen untuk berbelanja secara semberono; anda masih perlu mengurus keutamaan lain.
Rancang bajet anda supaya cukup untuk sepanjang bulan. Mulakan dengan memberi ganjaran kecil kepada diri sendiri sebagai motivasi untuk kejayaan masa depan, tetapi pastikan perbelanjaan tersebut berpatutan dan dianggarkan dengan baik untuk tempoh 30 hari akan datang.
2. Berkongsi dengan Ibu Bapa Anda
Rasa tidak lengkap tanpa berkongsi sebahagian daripada gaji anda dengan ibu bapa. Mereka telah banyak berkorban untuk membantu anda sampai ke tahap ini.
Walaupun jumlahnya kecil, seperti RM100 setiap seorang, ia sudah cukup bermakna. Bagi mereka, bukan jumlah wang yang penting, tetapi tanda penghargaan itu yang utama.
Jadikan ia amalan bulanan untuk berkongsi sedikit pendapatan anda dengan mereka – ia membawa keberkatan dan ketenangan jiwa.
Bersikap pemurah terhadap ibu bapa meningkatkan rasa syukur, dan apabila mereka berbangga dengan keprihatinan anda, hidup anda akan terasa lebih bermakna dan rezeki akan sentiasa cukup, walaupun tidak berlebihan.
3. Menyimpan untuk Masa Depan
“Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.” Mulakan simpanan awal dengan menyisihkan sebahagian, sebaiknya 30% daripada gaji anda setiap bulan.
Pilih institusi simpanan yang dipercayai atau akaun simpanan tetap untuk membantu wang anda berkembang.
Membiasakan rutin ini memerlukan disiplin tetapi berbaloi dalam jangka masa panjang.
Impian anda boleh ditangguhkan seketika; utamakan asas kewangan yang kukuh terlebih dahulu. Dengan memulakan simpanan sekarang, anda mempersiapkan diri untuk masa depan yang lebih selesa.
Artikel Menarik Lain: 3 Strategi Terbaik untuk Kenaikan Gaji dengan Lebih Cepat
4. Rancang Bajet untuk Perbelanjaan Harian
Pada peringkat ini, gaji anda mungkin belum besar, jadi elakkan perbelanjaan yang tidak perlu.
Fokus pada membeli barang keperluan sahaja, dan cuba peruntukkan kira-kira 30% daripada pendapatan untuk perbelanjaan harian.
Salah satu cara menjimatkan kos ialah memasak sendiri dir rumah daripada makan di luar.
Walaupun memerlukan usaha, membawa bekal boleh menjimatkan wang dalam jangka panjang.
Simpanan kecil ini akan bertambah lama-kelamaan. Walaupun gaji anda meningkat, kekalkan mindset berjimat supaya lebihan pendapatan boleh digunakan untuk simpanan atau pelaburan.
Artikel Menarik Lain: Kerja untuk Graduan Baharu: 3 Pilihan Terbaik untuk Memulakan Kerjaya Anda dengan Betul
5. Bayar Hutang
Gunakan sebahagian daripada gaji untuk membayar hutang, seperti pinjaman pelajaran atau lain-lain. Utamakan pembayaran hutang untuk memastikan kestabilan kewangan anda.
Bagi ramai pekerja, hutang adalah sebahagian daripada kehidupan, tetapi jika tidak diuruskan, ia boleh menyebabkan masalah kewangan yang serius.
Untuk mengelakkan kesukaran di masa depan, jadikan pembayaran hutang sebagai keutamaan setiap kali menerima gaji.
Dalam tempoh 2019 hingga Ogos 2023, daripada 35,714 kes kebankrapan, sebanyak 49.14 peratus atau 17,550 kes melibatkan pinjaman peribadi, berbanding jenis pinjaman kewangan lain, termasuk pinjaman bercagar atau tidak bercagar daripada institusi perbankan.
6. Bayar Sewa (Jika Berkenaan)
Menyewa adalah realiti bagi mereka yang baru memulakan kerja. Sewa boleh mengambil sebahagian besar daripada gaji anda.
Jadi pertimbangkan untuk mencari rakan serumah, sebaik-baiknya rakan atau bekas rakan sekelas yang bekerja berdekatan, untuk berkongsi kos.
Walaupun mungkin kurang selesa daripada tinggal sendiri, berkongsi perbelanjaan dapat meringankan beban kewangan.
Jika boleh, pertimbangkan untuk tinggal bersama keluarga buat sementara waktu untuk menabung.
Jika tidak, cuba sisihkan sedikit bahagian gaji setiap bulan untuk keperluan perumahan di masa hadapan. Disiplin awal ini akan memudahkan peralihan kewangan di kemudian hari.
Kesimpulan
Ini adalah panduan umum untuk menggunakan gaji pertama anda. Anda boleh menyesuaikannya mengikut matlamat dan keperluan peribadi.
Dengan pelan perbelanjaan yang baik, anda dapat menguruskan wang anda tanpa tekanan dan mengelakkan kekurangan wang sebelum akhir bulan.
Akhirnya, tidak kira berapa jumlah gaji anda, pengurusan perbelanjaan yang berhati-hati akan membuatkan wang anda mencukupi. Gaji yang tinggi sekalipun tidak akan cukup jika dibelanjakan secara sembarangan.
Dengan pendekatan yang berdisiplin, pendapatan anda akan sentiasa terasa mencukupi dan membolehkan anda menjalani kehidupan yang sejahtera.